BERAKAS GARISON, Isnin 23 Julai 2018 – Upacara Perbarisan Serah Terima Tugas Pegawai Pemerintah Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (1Bn TDDB) telah berlangsung di Padang Kawad 1Bn TDDB, Berakas Garison.
Upacara perbarisan dimulakan dengan tabik hormat kepada Tetamu Kehormat, Yang Mulia Leftenan Kolonel Aldi bin Haji Hassan, Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB yang lama, dan seterusnya memeriksa barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota-anggota 1Bn TDDB yang diketuai oleh Yang Mulia Mejar Haji Muhammad Nasrul Hadi bin Haji Othman.
Upacara diteruskan lagi dengan ucapan daripada Tetamu Kehormat dan diikuti dengan menandatangani Sijil Serah Terima Tugas Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB iaitu di antara Yang Mulia Leftenan Kolonel Aldi bin Haji Hassan dengan Yang Mulia Mejar Mohd Roasri Erwan bin Haji Tasrif.
Yang Mulia Mejar Mohd Roasri Erwan bin Haji Tasrif oleh itu dengan secara rasminya telah mengambil alih jawatan sebagai Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB. Sebagai Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB yang baru, beliau seterusnya menerima Tabik Hormat dan kemudiannya memeriksa Kawalan Kehormatan dan diikuti dengan ucapan.

