BERAKAS GARISON, Isnin 01 Oktober 2018– Majlis Upacara Perbarisan Hari Ulang Tahun Khidmat Bantu Kombat, Tentera Darat Diraja Brunei (HUT KBK TDDB) Ke-27
 telah berlangsung di Padang Kawad Batalion Pertama Berakas Garison. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Kolonel Dr Haji Awang Mohd Hafizul bin Haji Awang Mohd Hassan, Pemangku Komandan KBK TDDB. Turut hadir dimajlis tersebut adalah Pegawai-pegawai Kanan, Pegawai-pegawai serta Lain-lain peringkat Unit KBK TDDB.

Sejurus ketibaan, Yang Mulia Kolonel Dr Haji Awang Mohd Hafizul bin Haji Awang Mohd Hassan menerima tabik hormat dan diikuti dengan memeriksa pebarisan yang terdiri daripada anggota-anggota Khidmat Bantuan Kombat iaitu terdiri daripada Markas Khidmat Bantuan Kombat, Depoh Logistik, Kejuruteraan Darat, Skuadron Semboyan, Khidmat Perubatan dan Kesihatan, Khidmat Pergigian, Kenderaan Pasukan, Khidmat Bomba dan Keselamatan dan Pasukan pancaragam Batalion Kedua TDDB. Perbarisan tersebut diketuai oleh Mejar Zooladdyhamddymee bin Haji Bahmin.

Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian perutusan Yang Mulia Pemangku Komandan KBK dan diakhiri dengan Doa. Upacara Sambutan HUT KBK diteruskan lagi dengan Acara Jamuan Makan dan potongan Kek di Mes Pegawai dan Mes Sjn Berakas Garison bagi memeriahkan sambutan HUT KBK.