MUARA, Juma’at 20 April 2018 – Upacara Penyerahan Bot Peronda KH27 TDDB telah diadakan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei yang disempurnakan oleh Yang Mulia Mejar Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Sebanyak 5 buah Bot peronda diserahkan ke Tentera Darat Diraja Brunei yang merupakan salah satu aset penting dan signifikan bagi unit berkenaan dalam menanai salah satu peranan TDDB iaitu membuat rondaan Sungai serta membantu dalam operasi mencari dan menyelamat. Bot Peronda KH-27 tersebut mempunyai kepanjangan 28 kaki 5 inci dengan seberat 1800 kg dan boleh mencapai kelajuan hingga 40 knot. Ianya juga boleh membawa muatan seramai 14 orang (2 anak kapal dan 12 penumpang).
Semasa upacara tersebut, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta Pegawai-Pegawai Kanan ABDB berkesempatan untuk menaiki Bot Peronda berkenaan yang bermula di Jeti Alpha, Pangkalan Tentera Laut dan berakhir di Pusat Sukan Air ABDB, Serasa.
Turut hadir diupacara tersebut ialah Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, Pemerintah Angkatan Bersama, Ketua Pegawai Eksekutif RBTS, Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.




