BERAKAS GARISON, Khamis 19 April 2018 - Upacara Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Kontingen Penembak Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) yang akan menyertai Perlawanan AUSTRALIAN ARMY SKILLS AT ARMS MEET bagi tahun 2018 telah diadakan di Markas TDDB.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis tersebut ialah Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Hj Lampoh, Pemerintah TDDB. Turut hadir ialah Timbalan Pemerintah TDDB, Ketua Staf TDDB, Pegawai-Pegawai Kanan dan Pegawai-pegawai TDDB.

Penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam telah disampaikan oleh Tetamu Kehormat kepada Ketua Kontingen Penembak TDDB iaitu Yang Mulia Mejar Haji Mohammad bin Haji Ahmad. Perlawanan pada tahun ini akan diadakan di Australia bermula pada 22 April 2018 dan akan berakhir pada 13 Mei 2018. Seramai 14 orang anggota TDDB menyertai perlawanan tahun ini bagi kategori menembak Pistol, Rifle dan General Purpose Machine Gun (GPMG).

Tetamu Kehormat juga melahirkan harapan agar Pasukan Penembak TDDB akan dapat mengekalkan dan mempertingkatkan prestasi sebagai sebuah pasukan yang berdaya saing diperingkat antarabangsa. Pada masa yang sama semua anggota diingatkan agar sentiasa menjaga disiplin, kerjasama serantau serta mempamerkan sikap profesionalisme yang tinggi disepanjang perlawanan tersebut dijalankan.