PENANJONG GARISON, Isnin 03 September 2018 – Eksesais Latma Keris Satria Siri 12/2018 telah berakhir secara rasminya di Kompleks FIBUA, Penanjong Garison. Hadir selaku Tetamu kehormat adalah Yang Mulia Leftenan Kolonel Alirudimi bin Haji Perudin, Ketua Doktrin Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB). Turut hadir sama menyaksikan penutup eksesais ini adalah Yang Mulia Kolonel Infanteri Josep Tanada Sidabutar, Komandan Brigif Infanteri Para Raider 3/Tri Budi Sakti, Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD).

Upacara dimulakan dengan Taklimat Operasi yang disampaikan oleh Kapten Matalisham bin Hj Mahadi, Pegawai Memerintah Kompeni A Batalion Ketiga TDDB. Pertunjukkan dimulakan dengan serangan kompeni yang terdiri daripada Kompeni A dan Anggota Tentera Nasional Indonesia dengan bantuan daripada Kenderaan Angkut Perisai.

Upacara diteruskan lagi dengan ucapan daripada Yang Mulia Leftenan Kolonel Alirudimi bin Haji Perudin, Ketua Doktrin dan diikuti ucapan penutup daripada Kolonel Infanteri Josep Tanada Sidabutar, Komandan Brigif Infanteri Para Raider 3/Tri Budi Sakti, Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD).

Seterusnya penyempurnaan penyerahan bendera eksesais dari Yang Mulia Mejar Rudie Asmawi bin Abidin, Pemangku Pegawai Pemerintah 3Bn TDDB kepada Yang Mulia Mayor Infanteri Anak Agung Gede Rama Cahayana Putra, Danyonif PR 431 Konstrad Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat. Upacara diakhiri dengan pertukaran cenderahati kedua belah pihak dan sesi bergambar ramai.