BERAKAS GARISON, Sabtu 4 November 2017 – Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah menyambut Hari Ulang Tahun yang ke-56 pada hari ini dengan mengadakan Upacara Perbarisan Perutusan Pemerintah TDDB yang berlangsung di Padang Kawad Batalion Pertama TDDB, Berakas Garison. Seramai lebih daripada 2056 anggota TDDB telah mengikuti perbarisan tersebut.

Sejurus ketibaan Yang Mulia Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah TDDB dan juga selaku Tetamu Kehormat Majlis tersebut, upacara dimulakan dengan penerimaan tabik hormat dan diikuti dengan pemeriksaan perbarisan yang diketuai oleh Yang Mulia Mejar Rudy Asmawi bin Abidin, Timbalan Pegawai Pemerintah Batalion Pertama TDDB.

Upacara diteruskan lagi dengan ucapan perutusan yang disampaikan oleh Yang Mulia Pemerintah TDDB. Dalam ucapan perutusan tersebut, Yang Mulia Pemerintah TDDB telah menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih dan seterusnya melafazkan ikrar ta’at setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Beliau seterusnya mengimbas kembali pencapaian dan pengajaran TDDB disepanjang setahun yang lalu dalam mengukur tahap perlaksanaan peranan TDDB dan bagi menuju peningkatan ke tahap yang lebih baik. Yang Mulia Pemerintah TDDB pertama sekali menyentuh mengenai aspek sekuriti yang mana beliau menekankan pentingnya bagi semua anggota untuk peka terhadap apa jua ancaman dalam mengecapi keamanan dan pencapaian TDDB. Ancaman yang dilihat adalah sangat dinamik dan datang melalui pelbagai sudut yang tidak dapat dijangkakan. Penyalahgunaan apa jua teknologi informasi, internet mahupun media sosial pada masa ini dilihat semakin berleluasa yang mana ianya memberi impak terhadap keselamatan Negara, boleh melumpuhkan sesebuah organisasi serta merosakkan moral individu dan anggota Tentera Darat adalah tidak terkecuali.

Dalam menangani cabaran sekuriti tersebut, Yang Mulia Pemerintah TDDB telah memetik petikan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ke-56 pada 17 September 2017. Baginda bertitah dan menegaskan bahawa “…anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab sangatlah bijak mempergunakan kaedah-kaedah baru seperti media sosial, untuk menyebarluaskan ideologi mereka, dan seterusnya, mendorong masyarakat ke arah radicalisation”. Oleh itu, baginda juga menekankan “…betapa mustahaknya untuk mematuhi etika penggunaan media sosial, dan menjalankan pemantauan secara proaktif, bagi memastikan keutuhan benteng dalaman itu”.

Oleh yang demikian, Yang Mulia Pemerintah TDDB menyeru agar semua warga TDDB perlu bijak dalam menggunakan media sosial untuk menjadikan TDDB sebuah organisasi yang professional dan berwibawa.

Dari segi pencapaian TDDB, beliau menyatakan bahawa TDDB telah mencapai tahap kesiapsiagaan yang baik secara keseluruhan, meskipun masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki dan ditingkatkan demi mencapai ke arah tahap yang lebih baik lagi.

Menyentuh mengenai latihan pula, beliau menyatakan bahawa TDDB akan menjadi tuan rumah bagi latihan dua hala Eksesais MAJU BERSAMA dan RINTIS BERSAMA bersama dengan Tentera Darat Republik Singapura pada bulan November ini. Manakala latihan bersama Tentera Darat Malaysia dijadualkan pada Mac 2018. Selain daripada latihan ketenteraan, TDDB juga akan mengikuti kejohanan menembak di peringkat Tentera ASEAN di Republik Singapura menerusi ASEAN Armies Rifle Meet ke-27 (27th AARM). Beliau juga mendoakan agar Kontinjen Penembak AARM akan beroleh kejayaan serta dapat mengharumkan lagi nama TDDB di arena antarabangsa. Semua anggota TDDB yang akan mengikuti latihan dan perlawanan tersebut adalah ditekankan agar menunjukkan sikap profesionalisme yang tinggi serta mengambil pelajaran yang mendatangkan manfaat.

Sudut disiplin juga turut disentuh yang mana beliau amat bersyukur dengan penurunan kes-kes penyalahgunaan dadah dikalangan warga TDDB. Penurunan ini diharap akan berterusan dan beliau mengingatkan kepada semua anggota agar berfikiran matang dan menghindari daripada melakukan kesalahan tersebut. Adalah juga ditekankan agar semua anggota mempunyai sikap Muhasabah dari sudut kerohanian, untuk menjadi seorang individu yang Berakhlak dan Berakidah dengan mengambil akhlak Rasulullah SAW sebagai contoh. Beliau turut menambah agar aktiviti-aktiviti keagamaan sentiasa diteruskan bagi meningkatkan kefahaman dan keimanan anggota-anggota dalam mencapai aspirasi dan visi TDDB sebagai “Tentera Darat Yang Berkemampuan Tinggi dan Mampu Mengadaptasi”.

Yang Mulia Pemerintah TDDB seterusnya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua anggota TDDB yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Jubli Emas sempena 50 tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan menaiki takhta pada bulan Oktober yang lalu.

Di akhir perutusan, Yang Mulia Pemerintah TDDB mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun TDDB ke-56 kepada semua warga TDDB yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara.