DAERAH TEMBURONG, Rabu 20 Disember 2017 – Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (1Bn TDDB) telah memberikan bantuan bencana alam di Kg. Bukok dan Kg. Belais, Daerah Temburong. Hujan lebat yang turun sejak awal pagi telah menyebabkan banjir kilat melanda dibeberapa kawasan kediaman dan menjejaskan sebahagian jalan raya yang menjadi laluan utama terutama sekali di Kg. Bukok. Turut terjejas ialah beberapa buah rumah akibat limpahan air Sungai berdekatan dengan kampong berkenaan.
Dalam menangani kejadian banjir tersebut,seramai 18 anggota dari Kompeni E, 1Bn TDDB, Perkhemahan Bangar, telah dikerahkan untuk memberi bantuan ke kawasan yang terjejas. Bantuan yang diberikan adalah berbentuk bantuan tenaga seperti memindahkan alat-alat kelengkapan di Sekolah Ugama Bukok dan juga memberikan kemudahan pengangkutan kenderaan darat menggunakan kenderaan 4 x Tan dan pengangkutan air menggunakan 1 x Bot Katamaran bagi mengangkut seramai 41 orang penduduk-penduduk yang terkandas akibat jalan yang ditenggelami air.
Memandangkan pada masa ini masih lagi dalam musim tengkujuh, TDDB akan terus bersiap sedia untuk memberikan bantuan bencana alam di kesemua empat-empat Daerah jika sekiranya kejadian seumpama ini berlaku lagi di masa akan datang.





