BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad 25 Februari 2018 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat bercemar duli menyertai acara Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2018 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di Bandar Seri Begawan.Turut hadir ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan ahli-ahli Kerabat Diraja.
Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34, Tahun 2018 yang bertujuan antara lain ke arah pembentukan budaya sukan yang menjurus kepada pewujudan warga sihat, dan pemantapan perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh.
Antara peserta pengayuh basikal ialah anggota-anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), bersama keluarga, yang diketuai oleh Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Pemerintah TDDB. Juga turut serta ialah Timbalan Pemerintah TDDB, Pegawai-pegawai Kanan dan anggota-anggota TDDB.
Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2018 mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh hampir 12 kilometer dan melintasi jalan-jalan utama, antaranya Jalan Pretty; Jalan Elizabeth 2; Jalan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien; Jalan Kianggeh; Jalan Sekolah; Jalan Kumbang Pasang; Jalan Gadong; Jalan Perdana Menteri; Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.


