BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 06 Mei 2018 – Tentera Darat Diraja Brunei tidak ketinggalan menyertai Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) kali ke-7 yang telah diadakan di Taman Sir Haji Omar Ali Saifuddien (SOAS), Bandar Seri Begawan.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerabat Diraja telah berkenan berangkat menyertai acara Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni yang bermula dan berakhir di Taman SOAS. Juga turut serta ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Pertahanan II, Yang Mulia Mejar Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pegawai-pegawai Kanan dan kakitangan daripada Kementerian Pertahanan and ABDB.


Seramai lebih 100 anggota dari TDDB telah memeriahkan sambutan tersebut dengan menyertai acara riadah berbasikal. Turut hadir ialah Pemerintah TDDB, Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Pegawai-pegawai Kanan TDDB, Pegawai-pegawai dan anggota TDDB.


Sambutan HKK pada tahun ini bertemakan ‘Keluargaku Penyayang Negara Gemilang’ yang dipengerusikan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Ianya adalah acara tahunan yang merupakan satu wadah untuk menyatukan usaha secara whole of nation bagi menyampaikan mesej mengenai kepentingan keharmonian dan pengukuhan keluarga untuk mengatasi segala cabaran. Sambutan tersebut juga adalah merupakan satu inisiatif dan komitmen berterusan negara dalam menyumbang keamanan, kemakmuran, kestabilan, dan kemajuan negara pada mencapai Wawasan Negara 2035 disamping mempromosikan gaya hidup yang sihat.