BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 Julai 2018 – Tentera Darat Diraja Brunei tidak ketinggalan menyertai Riadah Berbasikal Keputeraan 2018 yang telah diadakan di Taman Sir Haji Omar Ali Saifuddien (SOAS), Bandar Seri Begawan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerabat Diraja telah berkenan berangkat menyertai acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2018 yang bermula dan berakhir di Taman SOAS. Juga turut serta ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Pertahanan II, Yang Mulia Mejar Jeneral Pengiran Dato Seri Paduka Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pegawai-pegawai Kanan dan kakitangan daripada Kementerian Pertahanan and ABDB.

Seramai lebih 100 anggota dari TDDB telah memeriahkan sambutan tersebut dengan menyertai acara riadah berbasikal. Turut hadir ialah Pemerintah TDDB, Yang Mulia Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Timbalan Pemerintah TDDB, Ketua Staf TDDB, Pegawai-pegawai Kanan, Pegawai-pegawai dan anggota TDDB.

Riadah Berbasikal Keputeraan 2018 dianjurkan bagi mengambil sukut baik Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-72 Tahun yang antara lain bermatlamat membentuk budaya sukan dan memantapkan perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh yang menjurus pada pewujudan warga sihat.