BERAKAS GARISON, Rabu 09 Mei 2018 – Satu Taklimat Perundangan bagi anggota-anggota Markas dan Kompeni Markas Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah disampaikan oleh Yang Mulia Kapten Nida’ul Aqilah binti Hj Mayassin, Penolong Pegawai Turus Perundangan, Unit Perundangan Tentera yang diadakan bertempat di Dewan Pahlawan, Berakas Garison.

Taklimat yang telah disampaikan menyentuh mengenai Sumber Undang-Undang Tentera, Akta 149 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) iaitu kesalahan-kesalahan tentera yang terkandung didalam Akta 149 yang boleh diambil tindakan Pentadbiran atau Tatatertib melalui perbicaraan secara terus atau Perbicaraan diperingkat Mahkamah Tentera, sistem perjalanan disiplin tentera dan hukuman di tahap perbicaraan secara terus.

Tujuan taklimat tersebut adalah untuk menekankan kepada anggota-anggota akan hukuman-hukuman bagi setiap kesalahan yang dilakukan agar tidak melakukan kesalahan di dalam mahupun diluar ABDB. Kepentingan dalam menerapkan disiplin dan menjaga imej sesebuah unit khususnya dan imej ABDB secara amnya adalah sangat-sangat ditekankan semasa taklimat tersebut. Ianya juga merupakan salah satu inisiatif bagi memenuhi tahap kredibiliti ABDB dan juga berperanan menjadi contoh kepada masyarakat sekeliling. Diharap dengan adanya taklimat tersebut, ianya akan dapat memberikan nasihat dan kesedaran bagi anggota-anggota terutama sekali yang baru sahaja bertugas sebagai anggota tentera.