BERAKAS GARISON, Rabu 09 Mei 2018 – Isu penyalahgunaan dadah merupakan salah satu isu global yang mana negara ini juga tidak terkecuali dari berhadapan dengan masalah tersebut. Oleh itu, warga Markas Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan Kompeni Markas TDDB telah diberi kesempatan untuk mendengarkan taklimat kaunseling yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Lt Azya’an Nafaha’t binti Haji Zaini, Ketua Cawangan Narkotik dan Pemulihan, Pusat Kaunseling ABDB. Taklimat tersebut menyentuh mengenai Perintah Am KDYMM bagi Mengawal dan Membenteras Penyalahgunaan Dadah di dalam ABDB yang telah berlangsung di Dewan Pahlawan, Berakas Garison.

Semasa taklimat tersebut, beliau telah menerangkan tentang pentingnya kesedaran kaunseling dan Perintah Am larangan kepada penyalahgunaan dadah, tindakan pentadbiran dan tatatertib yang telah dikuatkuasakan bagi usaha mengawal penyalahgunaan dadah di TDDB.

Antara usaha menjadikan negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang paling selamat di dunia pada menuju Wawasan Brunei 2035 ialah memastikan rakyat dan penduduk dilindungi daripada penyalahgunaan dadah. Ini kerana pada jangka masa panjang, penyalahgunaan dadah boleh menjadi punca kepada kegiatan jenayah yang lain seperti mencuri, merompak, penderaan dan sebagainya.

Justeru itu, adalah diharapkan agar taklimat yang serupa akan terus diusahakan sebagai langkah-langkah mitigasi dalam membenteras penyalahgunaan dadah dikalangan warga TDDB khasnya dan ABDB amnya.