JERUDONG, Sabtu, 04 Ogos 2018 –
 Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah menghoskan Sukan Muhibah 2018 di antara TDDB dan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang berlangsung di
Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

TDDB telah diketuai oleh Pemerintah TDDB, Yang Mulia Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, manakala TDM diketuai oleh Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple bin Hj Kassim, Panglima TDM. Turut serta ialah Pegawai-pegawai Kanan jemputan dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pegawai-pegawai Kanan dan isteri-isteri dari kedua-dua angkatan tentera darat.

Sebaik tiba di tempat penginapan, Panglima TDM dan Isteri serta rombongan disambut oleh Pemerintah TDDB, Pegawai-pegawai Kanan TDDB dan Isteri. Pemerintah TDDB seterusnya juga menghoskan makan tengahari bertempat di Restoran Pantai,
Empire Hotel & Country Club, Jerudong. Hadir selaku Tetamu Kehormat semasa makan tengahari tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Md Yussof, Menteri Pertahanan II, Kementerian Pertahanan.

Sukan Muhibah pada tahun ini melibatkan perlawanan golf persahabatan di antara Pegawai-pegawai Kanan TDDB dan TDM, dan perlawanan bowling di antara Persatuan BAKTI TDDB dan Persatuan BAKAT TDM. Sukan Muhibah TDDB dan TDM merupakan salah satu landasan yang penting dalam mencapai kesefahaman, kesepakatan serta meningkatkan kemesraan, interaksi dan kekeluargaan di antara kedua-dua belah pihak yang sekian lama terjalin.