​PERKEMAHAN TUTONG, Khamis 06 Oktober 2016 – Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Yang Mulia Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud telah membuat lawatan bagi sesi perjumpaan bersama lepasan anggota-anggota Rekrut Pengambilan ke-156 yang bertukar ke TDDB. Seramai 67 anggota lepasan rekrut pengambilan ke-156 sedang menjalankan Program Suai-Kenal dan Kursus Lanjutan Infantri yang bertempat di Batalion Kedua (2Bn) TDDB Perkhemahan Tutong.

Ketibaan Yang Mulia Pemerintah TDDB disambut oleh Yang Mulia Mejar Salehudin bin Dato Paduka Haji Puasa, Pemangku Pegawai Pemerintah 2Bn TDDB di Blok Ilmu Batalion Kedua TDDB. Semasa sesi perjumpaan tersebut, Yang Mulia Pemerintah TDDB menekankan kepada semua anggota TDDB Pengambilan ke-156 untuk sentiasa Professional dalam melaksanakan tugas, menjaga disiplin setiap masa dengan menjauhi gejala social terutama dadah dan meminum arak yang banyak dilakukan oleh anggota tentera. Anggota-anggota TDDB Pengambilan ke-156 juga di ingatkan supaya sentiasa berwaspada didalam aspek sekuriti seperti semasa penggunaan laman sosial media pada masa kini.