BERAKAS GARISON, Khamis 02 November 2017– Sesi perjumpaan anggota-anggota lepasan rekrut pengambilan ke-159 Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) bersama Yang Mulia Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah TDDB telah diadakan di Dewan Pahlawan, Berakas Garison. Seramai 84 anggota lepasan rekrut pengambilan ke-159 telah selesai menjalani Kursus Lanjutan Infantri selama 3 bulan yang dikendalikan oleh Batalion Kedua TDDB (2Bn TDDB).

Ketibaan Yang Mulia Pemerintah TDDB disambut oleh Yang Mulia Mejar Pengiran Mohammad Shamsul Reza bin Pengiran Dato Paduka Haji Tengah, Pemerintah 2Bn TDDB. Turut hadir ialah Yang Mulia Mejar Muhammad Shahrimmy bin Karim, Pegawai Memerintah Kompeni B, 2Bn TDDB selaku Pegawai Pengendali Kursus Lanjutan Infantri dan jurulatih-jurulatih kursus. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dikepalai oleh Yang Mulia Pemerintah TDDB dan seterusnya interaksi bersama Yang Mulia Pemerintah TDDB.

Adapun tujuan perjumpaan dibuat adalah bagi memberikan peluang kepada anggota-anggota kursus berinteraksi bersama Yang Mulia Pemerintah TDDB. Didalam sesi perjumpaan tersebut, Yang Mulia Pemerintah TDDB menekankan kepada semua anggota-anggota kursus untuk sentiasa bersikap profesional dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab semasa membuat apa jua penugasan yang diberikan serta meningkatkan tahap profesionalisme anggota-anggota tentera darat yang baru. Dalam pada itu, beliau juga menekankan agar setiap anggota sentiasa menjaga disiplin dengan menjauhi segala gejala sosial terutama sekali penyalahgunaan dadah, meminum minuman keras, pergaulan bebas dan apa jua perkara yang menyalahi undang-undang tentera, negara dan agama. Ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada para peserta kursus sebelum masuk ke unit masing-masing. Selain daripada itu, perkara mengenai kebajikan setiap anggota juga turut disentuh oleh Yang Mulia Pemerintah TDDB yang mana ianya adalah hak individu dan perlu diambil kira oleh mereka yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan segala permasalahan terutamanya masalah peribadi dapat ditangani dengan lebih berkesan. Anggota-anggota kursus ini juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada dalam aspek sekuriti khususnya dalam penggunaan sosial media serta laman-laman sesawang dengan tidak menyalahi prosedur tetap yang telah digariskan yang mana ianya adalah menjadi satu kesalahan di dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Majlis perjumpaan tersebut diakhiri dengan sesi soal jawab dan di ikuti dengan bacaan doa yang dikepalai oleh salah seorang peserta kursus.