PERKHEMAHAN TUTONG, Jumaat 29 Disember 2017 - Sambutan Hari Keluarga Peringkat Batalion Kedua Tentera Darat Diraja Brunei (2Bn TDDB) sempena HUT TDDB yang ke 56 tahun, telah dipengerusikan dengan jayanya oleh Yang Mulia Mejar Muhd Shahrimmy bin Karim, Pegawai Memerintah Kompeni B 2Bn TDDB.

Tetamu Kehormat Sambutan Hari Keluarga tersebut ialah Yang Mulia Mejar Pg Mohammad Shamsul Reza bin Pg Dato Paduka Haji Tengah, Pegawai Pemerintah 2Bn TDDB.

Acara segera dimulakan dengan begambar ramai bersama warga anggota 2Bn TDDB dan seterusnya Senam Aerobik beramai-ramai yang diketuai oleh Jurulatih Jasmani 2Bn TDDB. Pegawai Pemerintah 2Bn TDDB seterusnya membuat lawatan ke stesen-stesen permainan yang telah disediakan oleh setiap kompeni dan diiringi oleh Pegawai-Pegawai 2Bn serta keluarga. Stesen-stesen yang disediakan pada hari tersebut dibukakan bagi penyertaan kanak-kanak dan keluarga warga 2Bn.

Acara diteruskan dengan majlis penyampaian hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang dari Sekolah Rendah Perkemahan Tutong yang mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR). Selepas penyampaian hadiah, Sambutan dimeriahkan lagi dengan Persembahan Mini Tattoo daripada Platun Serunai & Tambur.

Setiap kompeni telah menyediakan tempat masing-masing untuk membuat permainan dan aktiviti untuk para pelawat. Di antara permainan yang diadakan adalah seperti meneka berapa harga jumlah hamper, meniup belon yang paling cepat, bowling menggunakan bola RugbyRing Toss dan menembak tin menggunakan Nerf gun. Selain daripada itu, terdapat juga permainan-permainan lain yang mendapat sambutan ramai seperti Bouncer, melontar bola kedalam bakul dan banyak lagi yang bertujuan untuk merapatkan lagi keakraban kekeluargaan pada semua peringkat.

Pelbagai juadah juga telah disediakan oleh setiap kompeni untuk hidangan para anggota dan juga pengunjung dan bermacam-macam jenis jualan juga telah diadakan oleh gerai-gerai jualan.

Konsep sambutan Sambutan Hari Keluarga kali ini adalah untuk memupuk lagi keintiman sesama anggota, memperkenalkan ahli keluarga disamping dapat meluangkan masa bersama keluarga masing-masing.

Acara kemuncak sambutan pada hari tersebut adalah penyampaian hadiah utama nombor bertuah yang disampaikan oleh Tetamu Kehormat.