KOMPLEKS SUKAN AIR ABDB, SERASA, Ahad 28 Januari 2018 – Sambutan Hari Keluarga Peringkat Markas Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan Kompeni Markas TDDB sempena Hari Ulang Tahun TDDB yang ke 56 tahun, telah diadakan di Kompleks Sukan Air Serasa. Ianya telah dipengerusikan dengan jayanya oleh Yang Mulia Kapt Abd Aziz bin Hj Razali, Penolong Pegawai Turus Gerakan Markas TDDB.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah TDDB serta keluarga. Turut hadir ialah Timbalan Pemerintah TDDB, Ketua Staf TDDB, Pegawai-pegawai Kanan, Pegawai-pegawai dan anggota-anggota Markas TDDB dan Kompeni Markas TDDB serta keluarga.

Acara segera dimulakan dengan sesi begambar ramai dan seterusnya Senam Aerobik beramai-ramai yang diketuai oleh anggota-anggota Jurulatih Jasmani TDDB.

Yang Mulia Pemerintah TDDB kemudiannya dijemput untuk mengikuti aktiviti permainan Jet Ski yang merangkumi kawasan Pulau Muara Besar dan Pulau Pelompong iaitu dalam lingkungan kira-kira sejauh 32 km.

Selain daripada Jet Ski, semua anggota yang hadir juga dialu-alukan untuk mengikuti aktiviti kayak dan menaiki Air Boat. Pelbagai aktiviti yang lain seperti Mini Games dan Cabutan Bertuah juga turut diadakan. Sambutan tersebut diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi nombor bertuah yang disampaikan oleh Tetamu Kehormat.

Hari Keluarga Markas TDDB dan Kompeni Markas TDDB merupakan acara tahunan sempena Hari Ulang Tahun TDDB. Ianya bertujuan untuk merapatkan tali silaturrahim dan kekeluargaan dikalangan warga Markas TDDB dan Kompeni Markas TDDB disemua peringkat. Tema bagi Sambutan Hari Keluarga Markas TDDB dan Kompeni Markas TDDB pada kali ini ialah ‘Keluargaku Penyayang, Negara Gemilang’.