PERKHEMAHAN TUTONG, 08 Januari 2018
– Perlawanan Bravo II Challenge bagi Kompeni B Batalion Kedua Tentera Darat Diraja Brunei (Komp B 2Bn TDDB) telah dijalankan pada hari Isnin 08 Januari 2018. Sebanyak 5 pasukan yang terdiri daripada Platun 5, Platun 6 dan Markas Kompeni B telah mengambil bahagian di dalam perlawanan tersebut.

Perlawanan tersebut telah dibahagikan kepada 6 peringkat yang dimulakan dengan larian dari bangunan Kompeni B menuju ke checkpoint pertama iaitu Dewan Gerak Badan, Perkhemahan Tutong untuk aktiviti renang 100m. Perlepasan antara pasukan adalah setiap masa 5 minit. Diperingkat kedua pula ialah Casevac Run yang berlangsung di Padang bola ‘B’ yang mana peserta berlari dengan membawa 2 biji Jerrycan menuju ke Bukit Menara Rebro.

Peringkat seterusnya iaitu Ujian SOP 244 yang mana seorang anggota dari peserta kumpulan dikehendaki menjalani Ujian Teori dan Praktikal Perhubungan yang diuji oleh anggota dari Platun Semboyan 2Bn TDDB selepas itu peserta bergerak menuju ke Padang Hoki, untuk menjalani ujian seterusnya. Peringkat keempat iaitu Tyre Flip Race bertempat di kawasan Padang Hockey, yang mana peserta kumpulan dikehendaki untuk membalikkan tayar dari satu tempat ke satu tempat dan balik semula. Di peringkat yang ke lima peserta dikehendaki untuk berlari menuju ke galeri merempuh halangan, Perkemahan Tutong dan merempuh halangan seperti High Wall, Monkey Bars dan seterusnya.

Diperingkat ke enam iaitu Push Up & Sit ups, peserta dikehendaki berlari menuju ke bangunan Kompeni B 2Bn TDDB untuk membuat 200 Push up dan 300 Sit up secara berkumpulan dan selepas selesai membuat, kumpulan dikehendaki untuk membunyikan lonceng yang sedia ada untuk memberhentikan masa mereka dan melapor ke pengawas perlawanan bagi catitan masa dan keputusan akhir.

Penyampaian hadiah-hadiah bagi perlawanan tersebut telah diadakan di bangunan Kompeni B 2Bn TDDB yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Mejar Muhd Shahrimmy bin Karim, Pegawai Memerintah Kompeni B 2Bn TDDB selaku Tetamu Kehormat Majlis dan Pegawai Pengendali. Acara dimulakan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang yang mana di tempat ketiga dimenangi oleh Pasukan No. 4 yang diketuai oleh Yang Mulia Sld Mohammad Nurul Afiq bin Amram dengan catitan masa 1 jam 29 minit 27 saat, di tempat kedua dimenangi oleh Pasukan No. 1 yang diketuai oleh Yang Mulia Sld Mohammad Raimi Bin Jamain dengan catitan masa 1 jam 14 minit 45 saat manakala juara keseluruhan dan memenangi Piala Pusingan iaitu Pasukan No. 2 yang diketuai oleh Yang Mulia Sld Mohd Hariri bin Haris dengan catitan masa 1 jam 14 minit 26 saat.

Adapun objektif perlawanan ini dijalankan adalah untuk menilai daya kawalan dan perintah, semangat berpasukan, kerjasama dan keyakinan diri untuk melaksanakan sebarang penugasan dalam menangani apa jua halangan dan rintangan yang mencabar.