BERAKAS GARISON, Jumaat 04 Mei 2018– Pelawanan Akhir Bola Sepak Peringkat Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) bagi tahun 2018 yang dikendalikan oleh Khidmat Bantuan Kombat TDDB (KBK TDDB) telahpun berlangsung di Mini Stadium Berakas Garison.

Hadir bagi menyaksikan perlawanan ialah Yang Mulia Kolonel Haji Damit bin Haji Bakar, Timbalan Pemerintah TDDB selaku Tetamu Kehormat. Turut hadir ialah Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan anggota TDDB.

Perlawanan Bola Sepak ini telah berlangsung daripada 09 April 2018 hingga 04 Mei 2018 yang telah disertai oleh 06 buah pasukan daripada Batalion Pertama (1Bn), Batalion Kedua (2Bn), Batalion Ketiga (3Bn), Batalion Bantu, Khidmat Bantuan Kombat (KBK) dan Markas TDDB.

Perlawanan akhir bagi kejohanan tersebut adalah di antara 2Bn TDDB dan KBK TDDB, yang mana kemenangan telah berpihak kepada pasukan KBK TDDB dengan jaringan 2 berbalas 0. Penyampaian hadiah-hadiah dan Piala Pusingan telah disempurnakan oleh Yang Mulia Kolonel Khairil bin Haji Ismail, Ketua Staf TDDB diakhir acara tersebut.

Perlawanan Bola Sepak tersebut adalah merupakan aktiviti tahunan bagi TDDB dan diteruskan sebagai pemilihan wakil pemain-pemain TDDB bagi perlawanan diperingkat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang akan dilangsungkan pada bulan Ogos nanti. Disamping itu juga ianya adalah untuk memupuk semangat kesukanan dikalangan anggota-anggota TDDB.