BERAKAS GARISON, Juma’at, 01 Jun 2018
– Perjumpaan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Haji Awang Lampoh, bersama anggota-anggota yang mengikuti Latihan Penyesuaian
Force Integration Training (FIT) Kontingen ABDB bersama Malaysian Battalion 850-6 (MALBATT 850-6) dibawah misi UNIFIL telah berlangsung di Markas TDDB.

Seramai 30 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang terdiri daripada 23 orang anggota TDDB akan membuat latihan
FIT di Perkampungan MALBATT Port Dickson, Negeri Sembilan, Malaysia bermula pada 04 Jun hingga 11 Ogos 2018.

Semasa perjumpaan tersebut, Pemerintah TDDB telah berkesempatan untuk memberikan kata-kata nasihat bagi persiapan dan perlaksanaan latihan yang akan dijalankan nanti. Nasihat beliau juga meliputi persiapan dan pentadbiran bagi pergerakan anggota serta menekankan untuk sentiasa menjaga imej ABDB dan negara di sepanjang misi UNIFIL. Anggota-anggota juga diberikan peluang utk mendengar taklimat ringkas mengenai UNIFIL yang disampaikan oleh Yang Mulia Mejar Mohammad Azhan bin Hj Ahmad.

Sehubungan dengan itu, Kontingen ABDB bertolak dari Pangkalan Rimba Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) ke Malaysia pada 03 Jun 2018 dengan menggunakan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).