BERAKAS GARISON, Isnin, 2 April 2018 – Kejuruteraan Darat, Khidmat Bantuan Kombat, Tentera Darat Diraja Brunei menyambut Ulang Tahunnya yang jatuh pada 1 April dengan mengadakan upacara perbarisan yang berlangsung di Padang Kawad Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (1Bn TDDB), Perkhemahan Berakas Garison.
Aturcara perbarisan dimulakan dengan penerimaan tabik hormat diikuti dengan pemeriksaan perbarisan dan seterusnya ucapan perutusan oleh Yang Mulia Leftenan Kolonel Tamin bin Tuah, Pegawai Pemerintah Kejuruteraan Darat TDDB.
Dalam ucapan perutusan tersebut, Pegawai Pemerintah Kejuruteraan Darat TDDB mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan berterima kasih kepada semua warga Kejuruteraan Darat kerana telah sama-sama berusaha dan telah berjaya melangkah setahun lagi, dalam menerokai perkembangan sepanjang perkhidmatan di dalam unit Kejuruteraan Darat.
Pertama sekali beliau menekankan sifat bersatu kepada warga Kejuruteraan Darat TDDB. Walaupun bertugas di tempat yang berlainan, tetapi misi dan objektif Kejuruteraan Darat adalah tetap sama. Beliau seterusnya menyentuh tentang bantuan bagi kesiap siagaan TDDB dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan menyeru agar semua peringkat Kejuruteraan Darat supaya sentiasa peka dengan tahap pemeliharaan dan pembaikan kelengkapan dan sentiasa mencapai piawaian kesiap siagaan yang dikehendaki dengan efektif dan efisen.
Beliau juga menekankan warga Kejuruteraan Darat TDDB dengan kepimpinan berkualiti yang akan menanamkan sikap berdisiplin, adil dan memeduli kebajikan anggota-anggota bawahan dan membudayakan sikap hormat-menghormati bagi meningkatkan semangat berpasukan dan meningkatkan kepercayaan dan kesetiaan dalam organisasi.
Di akhir perutusan, beliau menyeru seluruh warga Kejuruteraan Darat bagi merafakkan sembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi, Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam.

