BERAKAS GARISON, Isnin 04 Disember 2017 – Seramai 45 orang anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah menamatkan Kursus Asas Semboyan Peringkat TDDB bagi Sesi Tahun 2017 yang telah berlangsung di Rumah Masak Berakas Garison. Kursus tersebut dikendalikan oleh Yang Mulia Kapten Adi Asmawi bin Adanan, Pegawai Semboyan Batalion Pertama (1Bn) TDDB.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Mejar Rudie Asmawi bin Abidin, Pemangku Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai-Pegawai Memerintah Kompeni, Pegawai Tidak Bertauliah-Pegawai Tidak Bertauliah Kanan (PTB-PTB Kanan), PTB-PTB Rendah, jemputan khas serta jurulatih-jurulatih kursus.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan penyampaian ulasan ringkas daripada Yang Mulia Kpl Mohd Firdaus Azzumar bin Haji Ismail selaku Ketua Pengendali Kursus dan juga jurulatih terbaik bagi kursus tersebut. Acara diteruskan lagi dengan penyampaian sijil-sijil yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat dan seterusnya menutup resmi kursus tersebut. Penuntut Terbaik Amali disandang oleh Yang Mulia Sld Zawir bin Zahari dari Kompeni C 1Bn TDDB, manakala Penuntut Terbaik Teori dan Keseluruhan disandang oleh Yang Mulia LKpl Adirol Arif bin Jamaludin. Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat serta bergambar ramai.
