HONOLULU, HAWAII, AMERIKA SYARIKAT, Selasa, 22 Mei 2018 – Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh ketika ini sedang berada di Amerika Syarikat bagi menghadiri Simposium dan Pameran Tentera Darat Pasifik 2018 yang bermula dari 22–24 Mei 2018. Acara tersebut telah dirasmikan oleh Yang Mulia Jeneral Robert Brooks Brown,
Commanding General of the US Army Pacific (USARPAC).  

Bertemakan, ‘The Future of Land Forces Integration: Multilateral Approaches Across the Indo-Pacific’, LANPAC 2018 membawa pemerintah-pemerintah tentera darat dari rantau Indo-Asia-Pasifik untuk sama-sama membincangkan mengenai isu-isu berkaitan dengan sekuriti dan kerjasama serta kesediaan tentera-tentera darat di Pasifik. Tahun ini LANPAC 2018 telah dihadiri oleh 26 negara dan merupakan kehadiran tertinggi yang disertai.

Semasa acara tersebut, Pemerintah TDDB juga telah membuat mesyuarat dua hala bersama
Commanding General of the US Army Pacific (USARPAC).  Kedua-dua belah pihak menyatakan rasa puas hati atas hubungan pertahanan yang baik dan berharap untuk mencapai kemajuan yang berterusan dalam hubungan pertahanan dua hala di antara kedua-dua buah negara.

Simposium dan Pameran Tentera Darat Pasifik adalah merupakan salah satu acara antarabangsa terbaik dunia yang dikendalikan oleh Persatuan Tentera Darat Amerika Syarikat pada setiap tahun. Ianya juga merupakan landasan penting dalam menonjolkan peranan angkatan darat di teater Indo-Pasifik serta sumbangan mereka kepada Angkatan Bersama semasa aman dan perang.