Republik Singapura, Rabu, 04 Julai 2018 – Woksyop bagi Perkongsian Maklumat Tentera Darat ASEAN 2018 yang julung kalinya telah diadakan bermula pada 03 – 05 Julai 2018 yang dikendalikan oleh Republik Singapura dan telah dihadiri oleh 10 Ketua Perisikan Tentera Darat ASEAN. Tentera Darat Diraja Brunei telah diwakili oleh Yang Mulia, Leftenan Kolonel Mohd Salehudin bin Dato Paduka Haji Puasa di Grand Copthorne Waterfront Hotel, Singapura.

Woksyop tersebut telah dibuka dengan rasminya oleh Yang Mulia Kolonel Edward Chen, Penolong Ketua Staf Perisikan, Tentera Darat Singapura yang juga selaku Pengerusi Woksyop Perkongsian Maklumat Tentera Darat ASEAN 2018. Semasa kata-kata aluan, beliau menyatakan bahawa woksyop tersebut telah membuka satu lembaran baru bagi Ketua-Ketua Perisikan Tentera Darat ASEAN dalam memberikan perkongsian maklumat dan meningkatkan kerjasama serta penglibatan Tentera Darat.

Pembukaan rasmi worksyop tersebut kemudiannya diikuti dengan
Keynote Address yang telah disampaikan oleh Yang Mulia, Brigedier Jeneral Goh Si Hou, Pemerintah Tentera Darat Singapura. Beliau menekankan mengenai pentingnya perkongsian maklumat dan perisikan yang mana ianya merupakan landasan penting dalam memberikan respon kepada persekitaran yang semakin kompleks dan dinamik, dan oleh itu memerlukan perisikan yang synthesis dari pelbagai sumber.

Tema woksyop bagi tahun ini ialah “Strengthening Intelligence Cooperation Against Regional Terrorism and Chemical, Biological, Radiological (CBR) Threats”. Sebahagian daripada agenda woksyop tersebut termasuk perbincangan plenary daripada tetamu jemputan dan penyampaian taklimat oleh semua Ketua Perisikan Tentera Darat ASEAN mengenai “”Strengthening Information Sharing Among ASEAN Armies”.

Woksyop Perkongsian Maklumat Tentera Darat ASEAN merupakan salah satu inisiatif yang telah dicadangkan semasa Mesyuarat Pelbagai Hala bagi Ketua-Ketua Tentera Darat Negara ASEAN ke-18 pada tahun 2018 di Republik Singapura. Konsensus bagi perkongsian maklumat di antara Tentera Darat ASEAN menunjukkan komitmen ASEAN dalam mencapai keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau melalui kerjasama keselamatan pelbagai hala.