PERKHEMAHAN BANGAR, Isnin 6 November 2017 – Pemangku Pegawai Pemerintah Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (1Bn TDDB) telah berkunjung ke Kompeni E 1Bn TDDB bagi menyampaikan Perutusan Pemerintah TDDB sempena Hari Ulang Tahun TDDB (HUT TDDB) ke-56 tahun sejurus selepas upacara perbarisan HUT TDDB yang telah berlangsung dengan penuh bersemangat di Perkhemahan Berakas pada hari Sabtu lepas.
Upacara perbarisan telah dimulakan dengan penerimaan tabik hormat oleh Yang Mulia Mejar Rudie Asmawi bin Abidin, Pemangku Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB dan seterusnya memeriksa perbarisan.
Upacara diteruskan dengan penyampaian Perutusan Pemerintah TDDB sempena HUT TDDB oleh Pemangku Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB dan kemudiannya diselajurkan dengan melafazkan ikrar TDDB yang dipimpin oleh Yang Mulia Leftenan Mohammad Ros Azmi bin Roslan, Pemangku Penolong Pegawai Memerintah Kompeni E 1Bn TDDB.
Setelah selesai upacara perbarisan perutusan di Perkhemahan Bangar, rombongan Pemangku Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB bertolak ke Pulau Baru-Baru bagi upacara penyampaian perutusan yang sama kepada anggota Kompeni E 1Bn TDDB yang sedang menjalankan tugas Siap Sedia di Pulau Baru-Baru.



