PENANJONG GARISON, Khamis 09 November 2017 – Operasi Wira sempena Eksesais CARAT 2017 di antara Batalion Kedua Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dengan United State Marines Corps (USMC) telah berlangsung mulai daripada 06 hingga 09 Nov 2017 bertempat di Penanjong Garison.

Eksesais CARAT 2017 pada tahun ini melibatkan seramai 130 anggota tentera termasuk pegawai terdiri daripada Kompeni B Batalion Kedua TDDB dengan pasukan daripada United State Marine Corps.

Operasi Wira dilaksanakan dalam dua fasa, Operasi Wira Setia iaitu Fasa Peperangan Hutan yang telah dikendalikan di dalam hutan Benutan bermula dari 06 November 2017 hingga 08 November 2017. Seterusnya adalah Operasi Wira Perkasa, yang bermula dari 08 November 2017 hingga 09 November 2017 iaitu kesinambungan Fasa Peperangan Hutan, ianya adalah Fasa Peperangan Bandar dan telah dikendalikan di Kompleks FIBUA Penanjong Garison.

Tujuan eksesais ini diadakan adalah bagi mengukuhkan lagi hubungan kerja serta meningkatkan kesefahaman dan interoperabiliti di antara anggota TDDB dan anggota USMC. Serangan akhir bagi Operasi Wira Perkasa menandakan berakhirnya Operasi Wira yang mana telah disaksikan oleh Yang Mulia Leftenan Kolonel Haji Mohd Huzaimi bin Pehin Datu Harimau Padang Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Husin, Ketua Unit Inspektorat Tentera Darat Diraja Brunei.