BERAKAS GARISON,  Khamis 10 Mei 2018 – Mesyuarat Perancangan bagi Eksesais Pahlawan Warrior yang pertama telah diadakan selama 04 hari bertempat di Markas Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (1Bn TDD) bermula pada 07 Mei 2018 hingga 10 Mei 2018 di antara 1Bn TDDB dan United States Army Pacific (USARPAC).

Mesyuarat berkenaan telah membincangkan konsep latihan, lojistik, sekuriti dan keselamatan, dan pengurusan pentadbiran. Kedua-dua pihak juga berpeluang membuat tinjauan ke kawasan-kawasan latihan di MB 20 bagi latihan operasi hutan dan Kompleks FIBUA Penanjong Garison bagi latihan Fight In Built Up Areas (FIBUA).

Mesyuarat Perancangan bagi Eksesais Pahlawan Warrior 2018 telah dipersetujui dengan penandatanganan minit mesyuarat pada 09 Mei 2018 bertempat di Restoran Horizon, Bandar Seri Begawan di antara Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB, Yang Mulia Leftenan Kolonel Aldi bin Haji Hassan dan Ketua Delegasi USARPAC, Mejar McCarty Michael R. Eksesais Pahlawan Warrior yang pertama ini dijangka akan diadakan pada 06 Ogos 2018 hingga 16 Ogos 2018 di Negara Brunei Darussalam. Perlaksanaan latihan medan di antara TDDB dan United States Army Pacific (USARPAC) ini mempamerkan keakraban hubungan ketenteraan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat.