PATTAYA,THAILAND, 14 September 2018 – Mesyuarat
ASEAN Peacekeeping Centre Network yang Ke-6 telah pun diadakan di Pattaya, Thailand yang berlangsung dari 10 hingga 14 September 2018. Mesyuarat tersebut membincangkan mengenai penubuhan gabungan angkatan pengaman yang bertugas dibawah naungan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Lt Kol Pg Sharifuddin bin Pg Hj Yusof dari Markas Angkatan Bersama dan Mej Mohammad Azhan bin Hj Ahmad dari Khidmat Bantuan Kombat, Tentera Darat Diraja Brunei sebagai wakil dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Mesyuarat tersebut membincangkan bagaimana negara ASEAN boleh bergabung sebagai satu angkatan untuk membuat misi pengaman, yang mana negara ASEAN yang mempunyai Pusat Pengaman boleh membantu negara yang tidak mempunyai Pusat Pengaman dalam mengikuti kursus pengaman dan sebagainya.

Pada mesyuarat tersebut, Mej Mohammad Azhan berpeluang untuk memberi taklimat mengenai gabungan Angkatan Pengaman semasa misi pengaman UNIFIL di antara Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, yang mana gabungan tersebut diterima dengan baik oleh negara ASEAN dan dijadikan contoh bagaimana negara ASEAN boleh bersatu membawa lambang ASEAN untuk membuat misi pengaman.

Mesyuarat tersebut berakhir dengan perancangan yang positif untuk mengadakan eksesais gabungan di antara negara ASEAN di salah satu Pusat Pengaman yang terdapat di negara ASEAN.