BERAKAS GARISON, Selasa 12 Jun 2018 – Dalam menyemarakkan lagi bulan yang penuh kerahmatan iaitu bulan Ramadhan bulan yang dihiasi dengan bacaan-bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di dalamnya, Berakas Garison telah menyambut Nuzul Al-Qur’an 1439H dengan mengadakan ceramah khas yang berlangsung di Surau Al-Fa’izun Berakas Garison.

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB). Turut hadir ialah Ketua Staf TDDB, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan seluruh warga Berakas Garison.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran dari ayat 183 hingga ayat 186, Surah Al-Baqarah yang dibacakan oleh Yang Mulia 18576 Kpl Fauzi bin Mustapha dan seterusnya sembahyang Fardhu Zuhor berjemaah. Majlis diteruskan dengan ceramah khas yang bertajuk ‘Al-Qur’an Sumber Kepimpinan A’dil’ yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Al-Minhaaj, Yang Mulia Ustaz Hilman bin Haji Salim.

Sambutan yang sama juga turut diadakan secara serentak di Perkhemahan Tutong dan Perkhemahan Lumut, manakala Berakas Garison menjadi tumpuan utama bagi sambutan tersebut.

Nuzul Al-Quran adalah antara peristiwa agung yang berlaku semasa kehidupan Nabi Muhammad Salallahu Alahihi Wasallam. Pada masa itulah permulaan Al-Quran diwahyukan oleh Allah Subhanahu Wata’ala ke atas Baginda yang mana ianya diturunkan pada 17 Ramadhan. Wahyu yang pertama adalah dari Surah Al-‘Alaq ayat 1 hingga 5.