BERAKAS GARISON, Isnin 10 September 2018 – Tahun 1440 Hijrah melabuh tirainya memulakan detik baru dalam perkiraan kalender Islam. Tahun baru Hijrah disemarakkan lagi dengan pelbagai majlis sambutan awal tahun hijrah yang diadakan oleh Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).
Membuka tirai majlis sambutan awal tahun hijrah peringkat TDDB, majlis sambutan awal hijrah telah berlangsung di Surau Al-Fai’zun di Perkhemahan Berakas. Hadir selaku tetamu kehormat adalah Yang Mulia Kolonel Khairil bin Haji Ismail, Ketua Staf TDDB. Turut hadir adalah pegawai-pegawai, PTB-PTB Kanan, PTB -PTB Rendah dan kakitangan awam Berakas Garison. Acara dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan seterusnya bacaan Doa akhir tahun diikuti dengan Sembahyang berjemaah Fardhu Magrib yang di susuli dengan bacaan Doa awal tahun. Pada sambutan tahun ini, acara disemarakkan lagi dengan tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Nazirul Mubin bin Ahad, Penolong Pensyarah Kolej Universiti Pengurusan Ugama Bandar Seri Begawan. Acara tersebut diteruskan dengan Sembahyang Fardhu Isyak berjemaah dan diakhiri dengan bacaan wirid dan doa.
Manakala, Batalion Kedua TDDB juga telah mengadakan Sambutan Awal Tahun Hijrah bertempat di Surau Pengerin Ratna Indera, Perkhemahan Tutong. Majlis diserikan dengan Ceramah Khas yang disampaikan oleh Yang Mulia Pg Haji Reduan Bin Pg Haji Badaruddin, Penolong Ketua Bahagian Penyebaran Da’wah (Ceramah), Pusat Da’wah Islamiah. Majlis tersebut dihadiri oleh Yang Mulia Mejar Mohd Hishamuddin Bin Haji Marzoki, selaku Tetamu Kehormat berserta pegawai-pegawai dan anggota Batalion Kedua TDDB.
Sementara itu, Batalion Ketiga TDDB telah mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah di Surau Ar Rahmah, Perkhemahan Lumut. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis adalah Yang Mulia Mejar Rudie Asmawi bin Abidin, Pemangku Pegawai Pemerintah Batalion Ketiga TDDB.Turut hadir serta adalah Pegawai – Pegawai serta Warga anggota 3Bn TDDB. Ceramah khas telah disampaikan oleh Penceramah Undangan, Yang Mulia Ustaz Haji Noor Azhar bin Haji Harith.
Sambutan Awal Hijrah adalah merupakan hari yang penting bagi umat Islam kerana ianya menandakan peristiwa yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Madinah.

Maal Hijrah di Surau Al-Fa’izun 1Bn TDDB


Maal Hijrah di Surau Pengiran Ratna Indera 2Bn TDDB


Maal Hijrah di Surau Ar Rahman 3Bn TDDB