KAMPONG MENUNGGOL, Khamis 02 November 2017 – Skuadron Jurutera Tempur (SJT) Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) sekali lagi telah berjaya menyelesaikan satu projek amal iaitu membaikpulih dua buah rumah kediaman di Kampong Menunggol. Majlis penyerahan sijil penyiapan projek telah disempurnakan pagi ini dari Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah kepada Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Laila Perkasa Kol (B) Dato Paduka Haji Mahdini bin Dato Haji Basir, Timbalan Yang Di-Pertua 2 Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) di kedua-dua buah rumah.
Turut hadir juga ialah Pemerintah TDDB, Yang Mulia Brigadier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pg Haji Mahmud, Yang Mulia Pg Hajah Zety Sufina binti Pg Dato Paduka Haji Sani, Timbalan Setiausaha Tetap (Kewangan & Pentadbiran), Pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai ABDB dan Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) serta para jemputan lain.
Projek ini menumpukan membaikpulih rumah kediaman Kampung Menunggol yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Kesejahteraan Masyarakat bagi memberi bantuan dari segi membaikpulih rumah tersebut. Projek ini adalah dibawah projek Titian Amal ABDB sempena Hari Ulang Tahun ABDB yang ke 56 yang mana mengambil masa selama 7 minggu bermula dari 07 Ogos 2017 sehingga 26 September 2017 dan melibatkan 15 jurutera dari anggota SJT.
Kerja-kerja pembaikan termasuk membuat tangga dan beranda yang baru, menukar atap yang lama, memperbaharui dalam dan luar dinding rumah serta mencat, dan membuat titian yang baru. Bahan binaan adalah dari sumbangan MKM serta Syarikat LSL.
Usaha kebajikan ini juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial ABDB dalam mendedahkan kemahiran anggota tentera kepada orang ramai terutamanya dalam pertukangan, pembinaan dan kerja berpasukan. Sambil itu juga, amalan membantu insan-insan yang memerlukan ini amat dipupuk di dalam Islam dan boleh memberikan impak yang positif kepada masyarakat.



