BERAKAS GARISON, Khamis 02 November 2017 - Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Kontingen Penembak Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) yang akan menyertai Perlawanan ASEAN ARMIES RIFLE MEETS yang ke -27 (27th AARM) telah diadakan di Markas TDDB.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis tersebut ialah Yang Mulia Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah TDDB. Turut hadir ialah Timbalan Pemerintah TDDB, Ketua Staf TDDB, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif TDDB dan Pegawai-Pegawai Jemputan bagi menyaksikan majlis tersebut.

Penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam telah disampaikan oleh Tetamu Kehormat kepada Ketua Kontingen Penembak TDDB iaitu Yang Mulia Leftenan Kolonel Aldi bin Haji Hassan. Perlawanan pada tahun ini akan diadakan di Republik Singapura bermula pada 13 November dan berakhir pada 22 November 2017. Seramai 55 orang anggota TDDB menyertai perlawanan tahun ini dalam beberapa acara perlawanan menembak seperti acara menembak menggunakan senjata Carbine, Pistol, Rifle dan General Purpose Machine Gun (GPMG).

Majlis tersebut diserikan lagi dengan upacara penyampaian pangkat bagi 04 orang anggota Pasukan Penembak TDDB, seorang anggota telah dinaikkan ke pangkat Pemangku Sarjan, manakala 02 orang anggota telah dinaikkan pangkat ke pangkat Pemangku Koperal dan seorang anggota telah dinaikkan pangkat ke pangkat Lans Koperal Tetap.

Tetamu Kehormat juga melahirkan harapan agar Pasukan Penembak TDDB akan dapat mengekalkan dan mempertingkatkan prestasi sebagai sebuah pasukan yang berdaya saing diperingkat antarabangsa. Pada masa yang sama sentiasa menjaga disiplin, kerjasama serantau serta mempamerkan sikap profesionalisme yang tinggi disepanjang perlawanan tersebut.