BERAKAS GARISON, Jumaat, 09 Februari 2018 – Program Induksi Askar Wanita Tentera Darat Diraja Brunei Pengambilan ke-53, yang bermula pada 29 Januari 2018, telah ditamatkan pada pagi ini dalam satu majlis penutup di Bilik Persidangan Rahang, Khidmat Pergigian, Berakas Garison.
Hadir selaku tetamu kehormat adalah Yang Mulia Kolonel (Dr) Awang Mohammad Hafizul bin Hj Mohammad Hassan, Pemangku Komandan Khidmat Bantuan Kombat, Tentera Darat Diraja Brunei.
Kursus yang berlangsung selama dua minggu ini dikendalikan oleh Yang Mulia Leftenan Raihana Samraa @ Lily binti Haji Abdul Rahman bertujuan memberikan pendedahan awal kepada Askar Wanita mengenai tugas dan tanggungjawab dalam unit-unit yang terdapat di Tentera Darat Diraja Brunei. Seramai 14 anggota Askar Wanita Pengambilan ke-53 yang telah menghadiri program induksi tersebut yang terdiri daripada 4 anggota Markas Tentera Darat Diraja Brunei, 1 anggota Batalion Bantu dan juga 9 anggota Khidmat Bantuan Kombat.
Di akhir majlis, penyampaian sijil kursus kepada peserta program induksi dan juga sijil penghargaan kepada jurulatih-jurulatih terlibat telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat. 

