PERKHEMAHAN TUTONG, Jumaat 03 November 2017 – Batalion Kedua Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah mengadakan Majlis Penutup Kursus Lanjutan Infantri bagi Lepasan Rekrut Pengambilan ke 159 yang telah diadakan di Rumah Masak, Perkhemahan Tutong.

Seramai 84 anggota telah berjaya mengikuti kursus dengan bantuan jurulatih-jurulatih daripada Batalion Pertama, Batalion Kedua dan Batalion Ketiga TDDB. Kursus ini dikendalikan selama 06 minggu iaitu bermula daripada 25 September 2017 hingga 03 November 2017 yang telah dikendalikan oleh Batalion Kedua TDDB.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis bagi Majlis Penutup Kursus tersebut ialah Yang Mulia Leftenan Kolonel Khairil bin Haji Ismail, Ketua Staf Tentera Darat Diraja Brunei.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Sld Md Hafizuddin bin Mohd Zaini, salah seorang daripada anggota kursus dan majlis diikuti dengan membaca ikrar TDDB yang diketuai oleh Yang Mulia Sld Md Khairiul Zuhri bin Abdullah.

Acara seterusnya diteruskan dengan penyampaian sijil kepada anggota-anggota yang telah berjaya menamatkan kursus ini. Penuntut terbaik keseluruhan disandang oleh Yang Mulia Sld Md Rafi bin Haji Abas. Manakala penuntut terbaik jasmani pula diraih oleh Yang Mulia Sld shahfadhillah Azri bin Haji Ramlee. Sebagai penutup acara disudahi dengan bacaan doa selamat dan sesi bergambar ramai.

Tujuan kursus ini dijalankan ialah sebagai pendedahan atau pengalaman secara lebih dekat lagi tugas-tugas sebagai seorang anggota infantri. Antara lain, kursus ini ialah sebagai satu platform penyesuaian diri bertugas didalam unit TDDB.