BERAKAS GARISON, ISNIN 14 MEI 2018 – Majlis Penutup Kursus Kombat Medik Sesi 2018 telah berlangsung di Rumah Masak, Berakas Garison.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Kolonel (Dr) Awg Hafizul bin Haji Awg Muhd Hassan, Pemangku Komandan Khidmat Bantuan Kombat (KBK) dan Ketua Pegawai Perubatan, Khidmat Perubatan dan Kesihatan, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB). Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai-Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Kementerian Pertahanan, PTB-PTB Kanan dan PTB Rendah serta Jurulatih-Jurulatih Kursus.
Kursus Kombat Medik telah dikendalikan oleh Cawangan Latihan Perubatan, Khidmat Perubatan dan Kesihatan sejak 9 Mac 2018. Di sepanjang 10 minggu kursus ini dijalankan, anggota kursus telah mempelajari kemahiran dan tatacara yang diperlukan semasa operasi ketenteraan seperti Asas Menyelamat Nyawa (Basic Life Support), Asas Pemeriksaan Pesakit (Basic Patient Assessment), pengetahuan klinikal seperti
intravenous infusion dan
vital signs. Anggota kursus juga berpeluang untuk membuat penempatan klinikal di Pusat-Pusat Khidmat Perubatan dan Kesihatan (Medical Reception Stations) dan Pusat Optima Kecergasan Tentera, Kementerian Pertahanan. Peserta-peserta kursus juga telah melalui cabaran ‘Eksesais Pantai Merah’, dimana kemahiran dan ilmu pengetahuan serta ketahanan fizikal dan mental mereka sebagai kombat medik telah diuji.
Peserta-peserta Kursus Kombat Medik Sesi 2018 ini terdiri daripada 20 orang anggota ABDB dari Batalion-Batalion TDDB, Rejimen Pasukan Khas (RPK) dan KBK. Kesemua peserta kursus telah berjaya menamatkan Kursus Kombat Medik pada 14 Mei 2018.
Semasa Majlis Penutup tersebut, Tetamu Kehormat Majlis telah menyampaikan sijil dan lencana Kombat Medik kepada peserta-peserta kursus serta sijil bagi tiga kategori penuntut terbaik. Penuntut terbaik keseluruhan telah disandang oleh Yang Mulia Kpl Rahman bin Haji Bakar dari unit RPK. Manakala, Yang Mulia Sld Dayangku Nur’Aqilah binti Pengiran Samsul Bahri dari Khidmat Perubatan dan Kesihatan, KBK, TDDB telah meraih Penuntut Terbaik dalam bahagian Teori. Penuntut Terbaik dalam bahagian Praktikal pula disandang oleh Yang Mulia Sld Almas Syadzwanie binti Kamis dari Khidmat Perubatan dan Kesihatan, KBK, TDDB.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Pengerusi Majlis Yang Mulia Kpl Rahman bin Haji Bakar kepada Tetamu Kehormat.

