BERAKAS GARISON, Khamis 07 Disember 2017 – Majlis Penutup Kursus Kombat Medik Sesi 2017 telah berlangsung di Rumah Masak, Berakas Garison.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Kolonel (Dr) Awg Hafizul bin Haji Awg Muhd Hassan, Pemangku Komandan Khidmat Bantuan Kombat (KBK) dan Ketua Pegawai Perubatan, Khidmat Perubatan dan Kesihatan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB). Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai-Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), PTB-PTB Kanan dan PTB-PTB Rendah serta Jurulatih-Jurulatih Kursus.
Kursus Kombat Medik telah dikendalikan oleh Cawangan Latihan Perubatan, Khidmat Perubatan dan Kesihatan buat pertama kalinya pada 16 Oktober 2017 selama 8 minggu. Kursus ini bertujuan untuk mempraktikkan kemahiran yang diperlukan oleh anggota-anggota perubatan semasa operasi ketenteraan seperti asas menyelamat nyawa (Basic Life Support), pemeriksaan asas pesakit (Basic Patient Assessment), pengetahuan klinikal seperti intravenous infusion dan vital signs. Peserta-peserta kursus juga telah menghadapi cabaran ‘Eksesais Pantai Merah’, dimana kemahiran dan ilmu pengetahuan serta ketahanan fizikal dan mental mereka sebagai kombat medik telah diuji.
Peserta-peserta Kursus Kombat Medik Sesi 2017 ini terdiri daripada seramai 20 orang anggota ABDB dari unit-unit Akademi Pertahanan ABDB, Institut Latihan ABDB, Batalion-Batalion TDDB dan Khidmat Bantuan Kombat. Kesemua peserta kursus telah berjaya menamatkan Kursus Kombat Medik pada 7 Disember 2017.
Semasa Majlis Penutup tersebut, Tetamu Kehormat Majlis telah menyampaikan sijil dan lencana Kombat Medik kepada peserta-peserta kursus serta sijil bagi tiga kategori penuntut terbaik. Penuntut Terbaik Keseluruhan telah disandang oleh Yang Mulia Kapt (U) Muhd Adif bin Haji Zaman dari Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, ABDB. Manakala, Yang Mulia Lt Muhd Adib Izzuddin bin Haji Ramli, TLDB dari Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, ABDB, telah meraih Penuntut Terbaik dalam bahagian Teori. Penuntut Terbaik dalam bahagian Praktikal pula disandang oleh Yang Mulia Sld Mohd Shah Neey bin Kassim dari Batalion Ketiga, TDDB.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Pengerusi Majlis Yang Mulia Kapt (U) Muhd Adif bin Haji Zaman kepada Tetamu Kehormat.


