PENANJONG GARISON, Rabu 21 Mac 2018 – Skuadron Jurutera Tempur (SJT) Batalion Bantu Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah mengadakan Majlis Penutup Kursus Asas Jurutera Tempur Sesi 2017. Seramai 21 anggota telah berjaya menamatkan kursus tersebut yang bermula daripada 10 Oktober 2017 hingga 21 Mac 2018. Majlis Penutup Kursus tersebut telah dilaksanakan di Kawasan Latihan MGB Bn Bantu TDDB.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Leftenan Kolonel Haji Roni Zai Bin Haji Zaini, Pegawai Pemerintah Bn Bantu TDDB. Turut hadir pada Majlis tersebut juga ialah Timbalan Pegawai Pemerintah Bn Bantu TDDB, Pegawai Memerintah SKPP Bn Bantu TDDB, Pemangku Sarjan Mejar Rejimen Bn Bantu TDDB, Pegawai-Pegawai serta wakil jemputan dari unit-unit TDDB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Haji Shahrul Azrimin Bin Haji Bidin Guru Ugama Bn Bantu TDDB sebagai pembuka Majlis dan diteruskan dengan persembahan dari anggota-anggota kursus. Selepas itu Tetamu Kehormat Majlis dijemput untuk  menyampaikan sijil dan lencana kepada enggota-anggota kursus dimana Penuntut Terbaik Keseluruhan dan Penuntut Terbaik Amali ialah Yang Mulia Sld Fariddudin Bin Mohammad Hasni daripada unit Kompeni D 1Bn TDDB manakala Penuntut Terbaik Teori pula disandang oleh Yang Mulia Sld Shahezwan Bin Abdullah dan Peningkatan Terbaik ialah Yang Mulia Sld Mohammad Syuaib Bin Awang Ahmad yang mana kedua-dua peserta kursus tersebut daripada unit SJT Bn Bantu TDDB.

Majlis diteruskan lagi selepas itu dengan ucapan  khas yang disampaikan oleh Tetamu Kehormat Majlis. Antara kandungan ucapan tersebut  ialah beliau  menekankan kepentingan  menimba ilmu pengetahuan yang berterusan bukan sahaja setakat dipraktikan di dalam  kursus akan tetapi hendaklah dipraktikkan di dalam tugasan. Beliau juga menyatakan tugas dan tanggungjawab seorang jurutera adalah berat kerana seorang individu itu perlu mengimbangkan kemahiran, keselamatan asset dan nyawa serta pencapaian objektif perlaksanan yang diarahkan. Majlis diakhiri dengan bacaan doa dan seterusnya sesi bergambar ramai.

Adapun objektif kursus tersebut dilaksanakan adalah bagi mengenal tugas dan tanggungjawab asas jurutera tempur melalui pendedahan latihan praktikal serta pembelajaran teori. Di dalam kursus tersebut juga telah diajarkan tatacara menggunakan berbagai jenis peralatan yang digunakan oleh Skuadron Jurutera Tempur pada masa kini. Selain itu kepentingan kursus tersebut juga  adalah untuk mengenalkan  kerja-kerja jurutera di dalam operasi seperti Mobility, Counter-Mobility, Survivability dan
Sustainability di dalam medan pertempuran mahupun ketika bencana alam.