
TUTONG, Jumaat 01 Disember 2017 – Seorang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) daripada Unit Skudaron Jurutera Tempur (SJT) Batalion Bantu Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Yang Mulia Leftenan Shazeerah binti Radinkanoro berusia 23 tahun telah melafazkan dua kalimah syahadah dan ikrar pengakuan dan pengislamannya hari ini pada majlis yang berlangsung di kediaman bapa saudara beliau iaitu Awg Muhammad Zuhairi bin Abdullah Amit di Kampong Luagan Dudok Keriam, Tutong.
Majlis pengislaman tersebut dihadiri oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd Tawih bin Abdullah selaku tetamu kehormat. Turut hadir di majlis tersebut ialah Pemerintah TDDB, Yang Mulia Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Timbalan Pemerintah TDDB, wakil Pegawai Daerah Tutong, Penghulu Mukim Keriam, Penghulu mukim Telisai, Pegawai-pegawai kanan ABDB, Pegawai Pusat Da’wah Islamiah Daerah Tutong dan para jemputan serta ahli keluarga.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh anggota daripada Batalion Bantu TDDB. Majlis diteruskan dengan pengakuan lafaz dan ikrar pengislaman Yang Mulia Leftenan Shazeerah binti Radinkanoro di hadapan Pegawai Pengislaman Pusat Da’wah Islamiah. Beliau telah memilih nama islamnya dan kini dikenali sebagai Lt Nur Shazeerah binti Radinkanoro. Laungan Dikir Marhaban serta taburan bunga rampai disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis serta para jemputan bagi memeriahkan lagi acara pada petang ini yang disertai dengan penyampaian cenderahati ABDB oleh tetamu kehormat kepada anggota yang diraikan.
Bagi memberkati majlis yang penuh kerahmatan ini, Doa Selamat dibacakan oleh Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB, Yang Mulia Mejar Ariffin bin Amit.



