PANAGA, SERIA, Juma’at, 8 Jun 2018 – Majlis Pengislaman bagi anggota dari unit Skuadron Jurutera Tempur Batalion Bantu Tentera Darat Diraja Brunei  (SJT Bn Bantu TDDB) iaitu Yang Mulia 14192 Sarjan Muhammad Ade Dzulkarnaen bin Awang telah berlangsung di Kg.Panaga, Seria.

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah, Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). Turut hadir ialah yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed Bin Awang Haji Lampoh , Pemerintah TDDB, Pegawai–pegawai Kanan ABDB dan awam, Pegawai– pegawai dan para jemputan serta kaum keluarga.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Yang Mulia 16794 Sld Awang Mohd Yussof Bin Hj Mohammad, dan diteruskan dengan pengakuan lafaz dan ikrar pengislaman di hadapan Pegawai pengislaman Pusat Dakwah Islamiah, Daerah Belait. Laungan Dikir Marhaban serta taburan bunga rampai oleh Tetamu Kehormat serta penyampaian cenderahati juga turut dilaksanakan. Bagi memberkati majlis tesebut, doa selamat telah dibacakan oleh Yang Mulia Komander Hj Ainolnizam bin Hj Ibrahim, Ketua Jabatan Agama (JAMAAT) ABDB.