PERKHEMAHAN TUTONG, Rabu 20 Disember 2017 - Batalion Kedua Tentera Darat Diraja Brunei (2Bn TDDB) dan Batalion Bantu TDDB telah mengadakan Majlis Makan Tengahari Bersama Pegawai Daerah, Penghulu Mukim, Ketua Kampong dan Stakeholders Daerah Tutong Sempena Hari Ulang Tahun TDDB yang ke 56 tahun. Majlis berlangsung di Mes Pegawai Batalion Kedua Perkhemahan Tutong yang telah dihoskan oleh 2Bn TDDB.
Majlis ini dikendalikan sebagai satu tanda penghargaan dan penghormatan kepada semua Agensi Kerajaan serta Institusi Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung dan Stakeholders di dalam Daerah Tutong di atas komitmen dan usaha, muafakat serta kerjasama yang sangat baik yang telah lama terjalin.
Yang Mulia Mejar Pengiran Mohammad Shamsul Reza bin Pengiran Dato Paduka Hj Tengah, Pegawai Pemerintah 2Bn TDDB didalam kata-kata ucapan beliau, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Tentera Darat Diraja Brunei khususnya amatlah menghargai hubungan telah lama kian terjalin dan kerjasama yang amat baik. Ianya diharap akan berkekalan demi menjaga keamanan dan kedamaian Daerah Tutong dan Negara Brunei Darussalam amnya.
Selain itu, pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei amnya dan Tentera Darat Diraja Brunei khususnya amatlah berterima kasih di atas kerjasama dan komitmen Agensi-Agensi Kerajaan dan Institusi Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung dan Stakeholders yang telah diberikan selama ini dan berharap kerjasama yang telah terjalin akan berterusan.


