BERAKAS GARISON, Isnin 05 Februari 2018 – Majlis Makan Tengahari bersama Pegawai Daerah, Penghulu Mukim, Ketua Kampung Daerah Brunei dan Muara telah diadakan di Mes Pegawai Berakas Garison yang dikendalikan oleh Yang Mulia Mejar Ahmad Bohare bin Mansor.
Rombongan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Daerah Brunei dan Muara yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abdul Karim, Pegawai Daerah Brunei dan Muara. Antara yang hadir pada majlis tersebut Yang Mulia Leftenan Kolonel Aldi bin Haji Hasan, Pegawai Pemerintah Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (1Bn TDDB), Pegawai-Pegawai serta PTB-PTB Kanan 1Bn TDDB dan Imam Surau Al-Fa’izun Berakas Garison.
Majlis dimulakan dengan solat zuhur berjemaah di Surau Al-Fa’izun Berakas Garison. Kemudian bergerak menuju ke Mes Pegawai Berakas Garison bagi Majlis Makan Tengahari bersama Pegawai Daerah, Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Daerah Brunei dan Muara.
Majlis dimulakan dengan bergambar ramai dan diteruskan dengan bacaan doa yang dibacakan oleh Yang Mulia Leftenan Mohammad Jubeli bin Awang Haji Daud diikuti dengan ucapan daripada Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB. Dalam ucapan beliau, majlis tersebut adalah satu aktiviti tahunan sempena sambutan ulangtahun TDDB yang ke 56 yang mana ianya bukan hanya untuk mengeratkan tali silaturahim malah bagi meningkatan kerjasama dan saling menghargai diantara satu sama lain.
Pada majlis tersebut juga, Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB telah menyampaikan cenderahati kenang-kenangan kepada Pegawai Daerah Brunei dan Muara diteruskan dengan menikmati jamuan makan tengahari dan diakhiri dengan menandatangani lembaran kenangan.


