INDERA KAYANGAN BALLROOM, Sabtu, 04 Ogos 2018 – Majlis Makan Malam sempena Sukan Muhibah 2018 di antara Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) telah berlangsung di Indera Kayangan Ballroom, Empire Hotel dan Country Club.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Awang Khairul Hamed bin Awang Hj Lampoh, Pemerintah TDDB dan Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple bin Hj Kassim, Panglima TDM.
Acara dimulakan dengan ucapan daripada Pemerintah TDDB yang mana beliau menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Panglima TDM serta rombongan di atas kesudian bagi menghadiri Sukan Muhibah 2018 di Negara Brunei Darussalam. Pemerintah TDDB juga menyatakan mengenai pentingnya untuk mengekalkan keakraban dan meningkatkan usaha kerjasama ketenteraan di antara kedua-dua angkatan tentera.
Majlis Makan Malam tersebut juga meliputi penyampaian hadiah bagi perlawanan golf persahabatan di antara TDDB dan TDM, dan perlawanan bowling di antara Persatuan BAKTI TDDB dan BAKAT TDM yang mana kedua-duanya telah berlangsung disebelah petang.
Piala Pusingan Sukan Muhibah 2018 bagi perlawanan golf juga turut disampaikan oleh Panglima TDM yang mana ianya telah dimenangi oleh Tim Pemerintah TDDB.
Acara seterusnya diikuti dengan penyampaian cenderahati kenangan oleh Pemerintah TDDB dan Isteri kepada semua delegasi TDM dan Persatuan BAKAT TDM. Majlis Makan Malam diakhiri dengan ucapan balas daripada Panglima TDM yang mana beliau menyatakan terima kasih kepada TDDB kerana mengendalikan Sukan Muhibah 2018 di antara TDDB dan TDM. Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri juga turut menjelaskan kegembiraan di atas hubungan ketenteraan yang rapat di antara kedua-dua belah pihak.


