PERKHEMAHAN TUTONG, Jumaat 10 November 2017 – Batalion Bantu Tentera Darat Diraja Brunei (Bn Bantu TDDB) telah mengadakan Majlis Makan Malam Beradat sempena Pertukaran Sarjan Mejar Rejimen (SMR) Bn Bantu TDDB di Mes Pegawai Waran, Staf Sarjan dan Sarjan (Mes PW, SSJN & Sjn), Perkhemahan Tutong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia PW1 Rashid bin Rahman, Mantan SMR Bn Bantu TDDB bersama isteri telah disambut oleh Yang Mulia PW1 Suhardi bin Hj Asli, SMR Batalion Bantu TDDB. Turut hadir bagi memeriahkan acara pada malam tersebut iaitu Pegawai-Pegawai Tidak Bertauliah Kanan (PTB kanan) Bn Bantu TDDB bersama isteri.

Majlis dimulakan dengan sesi bergambar ramai dan diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan jamuan makan. Acara diteruskan lagi dengan ucapan daripada Yang Mulia PW1 Suhardi bin Hj Asli dan diikuti dengan ucapan balas daripada Tetamu Kehormat. Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian cenderahati kepada Tetamu Kehormat. Untuk memberkati majlis, bacaan Doa Selamat telah dibacakan dan Majlis diakhiri dengan menandatangani lembaran kenangan.

Majlis Makan Malam Beradat ini diungkayahkan sebagai salah satu tanda penghormatan bagi mengenang jasa, khidmat bakti serta pengorbanan yang telah disumbangkan oleh Mantan SMR Bn Bantu TDDB disepanjang beliau bertugas di Bn Bantu TDDB. Disamping itu ianya juga untuk mengeratkan lagi hubungan di antara PW-PW, PTB-PTB Kanan Bn Bantu TDDB dan isteri-isteri.