PERKHEMAHAN TUTONG, Isnin 15 Januari 2018 – Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah membuat Kunjungan Persaraan ke Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) yang berlangsung di Batalion Kedua Tentera Darat Diraja Brunei (2Bn TDDB), Perkhemahan Tutong.

Sejurus tiba di Markas 2Bn TDDB, Yang Dimuliakan Pemerintah ABDB telah di sambut oleh Yang Mulia Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah TDDB dan seterusnya memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan Separuh yang terdiri daripada anggota-anggota 2Bn TDDB. Turut hadir menyambut ketibaan Yang Dimuliakan Pemerintah ABDB ialah Timbalan Pemerintah TDDB, Ketua Staf TDDB, Pegawai-pegawai Kanan, Pegawai-pegawai dan anggota-anggota TDDB.

Seterusnya Yang Dimuliakan Pemerintah ABDB bergerak ke Rumah Masak 2Bn TDDB bagi menghadiri upacara kunjungan persaraan yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan menerima kata alu-aluan daripada Yang Mulia Pemerintah TDDB. Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian cenderahati kenangan dan ucapan balas daripada Yang Dimuliakan Pemerintah ABDB. Di dalam ucapan tersebut, Pemerintah ABDB telah menyampaikan ucapan terima kasih kepada warga TDDB di atas dedikasi, sokongan dan komitmen yang telah diberikan sepanjang tempoh pemerintahan beliau serta melahirkan perasaan kepercayaan beliau terhadap TDDB yang akan sentiasa mara ke arah kemajuan yang lebih besar.

Yang Dimuliakan Pemerintah ABDB seterusnya dijemput bagi sesi ramah mesra bersama warga TDDB, menikmati jamuan dan bacaan Doa penutup bagi majlis tersebut. Majlis diakhiri dengan berziarah bersama anggota-anggota TDDB dan menandatangani lembaran kenangan.

Di akhir majlis tersebut, Yang Dimuliakan Pemerintah ABDB di jemput ke Mes Pegawai 2Bn TDDB bagi menerima taklimat keselamatan sebelum meneruskan lawatan seterusnya ke Perkhemahan Bangar dan Pulau Baru-baru.