PERKHEMAHAN BANGAR, Isnin 15 Januari 2018 – Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah membuat kunjungan Persaraan ke Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) yang berlangsung di Perkhemahan Bangar dan Pulau Baru-baru Batalion Pertama TDDB.

Sejurus tiba di Perkhemahan Bangar menggunakan BlackHawk, Yang Dimuliakan Pehin disambut Oleh Pegawai Memerintah Kompeni E Batalion Pertama TDDB iaitu Yang Mulia Kapten Mujib bin Japar dan menerima Hormat Panglima dari kawalan Suku yang terdiri daripada anggota-anggota Kompeni E.

Seterusnya bergerak ke Surau Perkhemahan Bangar bagi menunaikan Solat Fardhu Zuhor berjemaah. Setelah Selesai Solat fardhu Zuhor, Yang Dimuliakan Pehin bergerak ke Rumah Masak Perkhemahan Bangar. Majlis dimulai dengan bacaan surah al-Fatihah dan Ucapan kata-kata aluan diberikan Oleh Pegawai Pemerintah Batalion Pertama, Yang Mulia Leftenan Kolonel Aldi bin Hj Hasan dan seterusnya penyampaian cenderahati.

Setelah menikmati jamuan tengahari, acara diteruskan dengan Ucapan Yang Dimuliakan Pehin kepada anggota-anggota yang bertugas diperkhemahan Bangar, dalam ucapan balas Yang Dimuliakan Pehin menegaskan tentang kepentingan Disiplin iaitu dari segi aspek menepati masa bekerja, penyalahgunaan dadah dan kesalahan tentera serta awam dan juga menekankan mengenai kepentingan latihan dan menjalankan tugas dengan penuh amanah mengikut “Standard Operating Procedure”.

Selesai Ucapan, Yang Dimuliakan Pehin menandatangi lembaran kenangan dan bergambar ramai juga turut diadakan bersama anggota-anggota tentera dan awam yang bertugas di Perkhemahan Bangar. Yang Dimuliakan Pehin juga turut membuat lawatan ke Program Khidmat Bakti Negara yang terletak di Kampung Batu Apoi. seterusnya majlis diakhiri dengan junjung ziarah bersama anggota-anggota tentera dan awam.

Lawatan Yang Dimuliakan Pehin diteruskan ke Pulau Baru-Baru menggunakan Blackhawksejurus mendarat, Yang Dimuliakan Pehin menerima Hormat Panglima oleh anggota-anggota yang bertugas di Pulau Baru-Baru dan dan disambut oleh Pemangku Pegawai Gerakan Batalion Pertama. Acara dimulai dengan bacaan surah Al-Fatihah yang diketuai oleh anggota Jama’at yang bertugas di Pulau Baru-Baru. Kemudian Ucapan terima kasih diatas kunjungan yang dimuliakan Pehin ke pulau baru-baru yang disampaikan oleh Pemangku Pegawai Gerakan Mejar Norranellwi bin Searan. Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati dan ucapan balas dari Yang Dimuliakan Pehin juga menerapkan tentang pentingnya menjaga disiplin dan Latihan Ketenteraan. Setelah selasai ucapan, Yang Dimuliakan Pehin dan anggota-anggota bertugas menikmati jamuan. Majlis diakhiri dengan menandatangani lembaran kenangan dan sesi beramah mesra serta berziarah dengan anggota-anggota bertugas pulau Baru-baru.