SURAU AL – FA’IZUN BERAKAS GARISON, Isnin 28 Mei 2018 - Sebagai memartabatkan pembacaan Al-Quran dikalangan para pegawai serta anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Garison sempena sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ABDB yang ke-57 telah diadakan di Surau Al-Fa’izun Berakas Garison. Majlis tersebut diadakan bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB yang disambut setiap 31 Mei.
Majlis Khatam Al-Quran pada tahun ini telah dikendalikan oleh anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) yang terdiri daripada anggota-anggota Markas TDDB, Khidmat Bantuan Kombat TDDB dan Batalion Pertama TDDB dengan bilangan seramai 57 orang pembaca sebagai simbolik kepada ulang tahun ABDB ke-57.
Majlis dimulakan dengan Solat Fardhu Zohor berjemaah, diteruskan dengan bacaan surah-surah Al-Quran dan bacaan Takhtim dan Tahlil, dan seterusnya diikuti dengan bacaan Dikir Marhaban dan Doa Peliharakan Sultan. Majlis Khatam Al-Quran juga dihasratkan untuk memberikan dorongan semangat kepada para pegawai serta anggota ABDB dalam pembacaan Al-Quran dan menyuntik elemen kerohanian kepada semua anggota agar segala tugas yang diamanahkan itu dipikul dan dilaksanakan dengan rasa penuh tanggungjawab disamping mengharapkan keberkatan daripada Allah Subhannahu Wa Ta’ala jua.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB). Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Pemerintah TDDB, Ketua Staf TDDB, Pegawai-pegawai Kanan, pegawai-pegawai serta anggota-anggota TDDB.
