SURAU AL- FA’IZUN BERAKAS GARISON, Khamis 31 Mei 2018 - Tanggal 31 Mei merupakan detik penting bagi penubuhan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan kini menjangkau usianya ke-57 tahun dengan suasana yang penuh berkah yang secara kebetulan jatuh dalam bulan Ramadan Al-Mubarak pada tahun ini. Bagi memberkati dan menyemarakkan lagi Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB, Majlis Doa Kesyukuran telah diadakan dikesemua surau garison dan perkhemahan.
Bagi Tentera Darat Diraja Brunei, majlis tersebut tertumpu di Surau Al-Fai’zun Berakas Garison. Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Kolonel Khairil bin Hj Ismail, Ketua Staf TDDB. Turut hadir ialah Pegawai-pegawai Kanan, Pegawai-pegawai, PTB-PTB Kanan dan PTB-PTB Rendah TDDB.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Yang Mulia Sld Haji Abu Syahmi bin Haji Saharuddin, anggota dari Batalion Pertama TDDB dan diikuti dengan Solat Fardhu Zuhur berjemaah yang diimamkan oleh Imam Surau Al-Fai’zun Berakas Garison. Majlis diteruskan lagi dengan bacaan Surah Yassin dan Tahlil dan diakhiri dengan bacaan Doa Khas sempena HUT ABDB yang ke-57 tahun.

