SURAU AR – RAHMAH PERKHEMAHAN LUMUT, Jumaat 16 Februari 2018 –
Batalion Ketiga Tentera Darat Diraja Brunei (3BN TDDB) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang ke 44 tahun.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Surau Ar-Rahmah Perkhemahan Lumut adalah Yang Mulia Lt Kolonel Erwan bin Haji Ibrahim , Pegawai Pemerintah 3BN TDDB.

Acara dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran daripada Surah Al-Maidah ayat 8 hingga 11 yang di bacakan oleh 16982 Sjn Md Harun Ar-Rasyid bin Hj Husin dari Jabatan Agama ABDB, yang mana antara intisari ayat ialah Allah Subhanahu Wata’ala telah memerintahkan kita agar kita menegakkan keadilan dan kebenaran kerana Allah dan Allah Subhanahu Wata’ala menegaskan agar jangan sesekali kebencian Mendorong kita untuk tidak berlaku adil. Ingatlah bahawasanya sikap adil itu mendorong kepada takwa dan iman dan sesungguhnya orang yang beriman akan beroleh keampunan dan pahala yang besar dari Allah Subhanahu Wata’ala akan tetapi orang yang kafir dan mendustakan Allah merekalah penghuni Neraka Jahannam. Dan kita diseru untuk sentiasa mengingati pertolongan serta nikmat yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wata’ala

Acara diteruskan dengan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah, diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat berjemaah dan bacaan Surah Yaasin serta membaca doa khas yang dipimpin oleh Sjn Harun Ar-Rasyid bin Hj Husin. Majlis di akhiri dengan Sembahyang Fardu Isyak berjemaah.