PERKHEMAHAN BANGAR, Rabu 06 Jun 2018 – Kompeni E Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (Komp E, 1Bn TDDB) telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa Peringkat Perkhemahan Bangar bagi tahun 1439H/2018M bertempat di Surau Al-Quwwah dan Dewan Makan Perkhemahan Bangar.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Pemerintah TDDB. Turut hadir ialah Yang Mulia Leftenan Kolonel Aldi bin Haji Hassan, Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB, Pegawai-Pegawai Agensi Kerajaan Daerah Temburong, Sarjan Mejar Tentera Darat, Mantan-Mantan Pegawai Memerintah Kompeni E, Mantan-Mantan Kem Komandan Perkhemahan Bangar, Pegawai-Pegawai serta warga Komp E 1Bn TDDB.
Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh Yang Mulia Sld Mohd Mu’izz bin Mustafa dari Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (Jama’at ABDB) dan diteruskan dengan acara berbuka puasa serta menunaikan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah dan seterusnya menikmati jamuan di Dewan Makan Perkhemahan Bangar.
Dipenghujung majlis tersebut, Pemerintah TDDB serta jemputan-jemputan yang hadir berkesempatan untuk mengerjakan sembahyang Sunat Terawih serta Witir berjemaah dan majlis diakhiri dengan acara bertadarus Al-Quran bersama anggota-anggota Komp E 1Bn TDDB.
Majlis Berbuka Puasa seperti ini merupakan acara tahunan dan ianya adalah sebagai salah satu usaha untuk mengeratkan dan memperkukuhkan lagi tali silaturahim di antara TDDB dengan pihak agensi-agensi luar yang berkepentingan serta sebagai tanda penghargaan bagi mengenang jasa mantan-mantan Pegawai Memerintah dan Kem Komandan Perkhemahan Bangar.


