BERAKAS GARISON, Rabu 15 Ogos 2018 – Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah menerima lawatan sambil belajar daripada Taman Asuhan Kanak-kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang terdiri daripada 209 orang penuntut dan 24 orang guru. Lawatan tersebut dijalankan selama 02 hari bertempat di Padang Kawad Batalion Pertama TDDB Berakas Garison.

Lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Yang Mulia Mejar Mohamad Hanafi Azami bin Nayan, Timbalan Pegawai Turus Keanggotaan dan Pentadbiran TDDB. Guru-guru dan penuntut sekolah Taman Asuhan Kanak-kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah seterusnya didedahkan kepada pelbagai peralatan-peralatan Tentera dan kenderaan seperti CVRT Scorpion dan Bot Serang Laju, beserta aktiviti sampingan seperti menaiki kenderaan CVRT Scorpion.

Lawatan yang menjurus kepada ketenteraan setentunya telah dapat memberikan pengetahuan dan pengalaman yang bermanfaat kepada penuntut serta guru-guru. Dengan adanya lawatan seperti ini akan dapat kesinambungan pembelajaran yang ada dalam kurikulum sekolah dan juga memberikan pendedahan dalam situasi sebenar kepada murid-murid dan guru-guru. Lawatan diakhiri dengan menikmati jamuan dan seterusnya bergambar ramai.